Assalamualaikum wbt. dan Salam Sejahtera,
Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-Nya yang mengizinkan Pertandingan Inovasi Alam Melayu Antarabangsa 2025 (IMAN25) ini menjadi pentas gemilang bagi mengangkat warisan, budaya dan nilai Melayu ke aras teknologi masa depan. Pertandingan yang julung-julung kali dianjurkan ini menghimpunkan para pencipta dan pemikir dari dalam dan luar negara yang berkongsi citra dan semangat untuk memodenkan khazanah tradisi dengan sentuhan idea baharu yang kreatif dan inovatif.
Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) melalui Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa, Universiti Teknologi MARA selaku penganjur utama, komited untuk memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam memacu pemikiran strategik, pembangunan inovasi dan penghayatan jati diri Melayu. IMAN25 ini akan menjadi bukti usaha berterusan IMPAK untuk mendokong agenda pemerkasaan warisan bangsa melalui pendekatan teknologi bersama kolaborasi rakan-rakan strategik antarabangsa.
Saya dengan penuh sukacita mengalu-alukan penyertaan semua peserta IMAN25 yang berani mencipta kelainan dan menjadikan warisan Alam Melayu sebagai inspirasi utama dalam inovasi. Semoga pertandingan ini menjadi pencetus transformasi teknologi yang berakar pada identiti bangsa, memperkukuh jaringan kerjasama serantau, serta menyemarakkan legasi ilmu yang berterusan untuk generasi akan datang.
Layar berlabuh di Kuala Muda
Nakhoda cekal bijak berdaya;
Warisan Melayu tetap terpelihara
Menyuluh zaman sepanjang usia.
DR. KHAIRUDIN MURAD
Pengerusi IMAN25.
Sungai Batu merupakan tapak arkeologi penting yang membuktikan kewujudan salah satu tamadun terawal di Alam Melayu, berusia lebih 2,000 tahun. Terletak di Lembah Bujang, Kedah, kawasan ini pernah menjadi pusat perdagangan dan industri peleburan besi yang maju, memperlihatkan pencapaian teknologi masyarakat Alam Melayu dalam menghasilkan besi berkualiti tinggi untuk kegunaan tempatan dan eksport. Penemuan relau peleburan besi, struktur pelabuhan kuno, stupa dan binaan kompleks menunjukkan tahap kepakaran kejuruteraan dan organisasi ekonomi yang tersusun. Teknologi peleburan besi, sistem pengurusan pelabuhan serta jaringan perdagangan maritim yang luas membuktikan masyarakat Sungai Batu memiliki tamadun yang berasaskan inovasi teknologi, kekayaan sumber alam dan hubungan dagang dengan India, China dan Timur Tengah. Penemuan pelbagai bukti arkeologi yang mengangkat Sungai Batu sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara, diiktiraf oleh pakar genetik dari Oxford University, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer. Tapak Sungai Batu yang menemukan pelbagai bukti termasuk tapak ritual, industri peleburan besi, pelabuhan, shahbandar dan sebagainya adalah signifikan dengan pembangunan satu tamadun yang cukup hebat pada awal abad pertama.
Sejarah teknologi dan inovasi Alam Melayu kaya dengan kisah-kisah hebat yang sering kurang mendapat perhatian. Ia telah berkembang selama berabad-abad, membuktikan bahawa masyarakat Melayu bukan sahaja kreatif dalam seni dan budaya, tetapi juga dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi. Dari penciptaan perahu bercadik yang membolehkan pelayaran jarak jauh merentas lautan luas, penguasaan teknologi pelayaran dan ilmu astronomi untuk menentukan arah serta musim pelayaran, hingga kepada penciptaan senjata api tradisional seperti rentaka dan istinggar yang memperkukuh pertahanan, masyarakat Melayu telah memanfaatkan pengetahuan tempatan dan kreativiti untuk membangunkan teknologi yang lestari. Selain itu, kemahiran dalam teknologi peleburan besi bagi menghasilkan senjata dan perkakas berkualiti tinggi juga menjadi bukti kehebatan inovasi tempatan. Inovasi ini turut mencerminkan kebijakan dalam menyesuaikan teknologi asing dengan keperluan setempat dan memperkayakan warisan tempatan. Namun, sumbangan luar biasa ini sering terpinggir dalam naratif arus perdana, menyebabkan generasi masa kini kurang menyedari betapa kaya dan mendalamnya khazanah ilmu dan inovasi yang diwarisi daripada nenek moyang kita.
Salah satu hasil ciptaan atau inovasi orang-orang Melayu yang turut memberi sumbangan kepada perkembangan industri dunia yang kurang disedari oleh ramai orang ialah teknologi piston api melalui penciptaan sejenis peralatan menghidupkan api yang dipanggil gobek. Piston Api Melayu atau Gobek Api ini telah memberi pengaruh yang ketara ke atas kefahaman bangsa Eropah terhadap tekanan udara dan aplikasi-aplikasinya. Alat ini berfungsi menggunakan prinsip mampatan udara, di mana omboh kecil ditekan pantas ke dalam silinder yang berisi sedikit kapas atau bahan mudah terbakar, lalu menghasilkan suhu tinggi akibat tekanan mendadak sehingga menyalakan bara api. Teknologi gobek api bukan sahaja menunjukkan pemahaman mendalam orang Melayu terhadap konsep fizik seperti tekanan dan pembakaran, malah mencerminkan kreativiti mereka dalam mencipta alat praktikal bagi keperluan seharian seperti memasak, merokok, dan memulakan unggun api.